Kementerian Komunikasi junjung titah Agong bendung budaya buli
- nabalunews
- Aug 18, 2025
- 1 min read

18 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berhubung keperluan membendung budaya buli bermula di peringkat sekolah.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, titah Seri Paduka Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja menjejaskan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.
Menurut Fahmi, pihaknya komited menyokong hasrat Baginda menerusi beberapa langkah utama, antaranya pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.
“Kementerian juga akan melaksanakan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej anti buli sampai kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu.
“Selain itu, kementerian turut akan mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, titah Sultan Ibrahim seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI menerusi pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan mengekang isu buli dengan lebih tegas.
Jelasnya, kementerian juga akan akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja, agar generasi muda menghayati nilai hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil.
Beliau dalam pada itu menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media agar berganding bahu membanteras gejala buli.
“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” katanya.















Comments