Kempen Internet Selamat dilaksana di 8,585 sekolah dan IPT
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

9 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kempen Internet Selamat (KIS) telah dilaksanakan di 8,585 sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), melibatkan seramai 394,477 pelajar setakat 5 Disember 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata seramai 288,852 peserta turut menyertai 472 program yang dianjurkan untuk masyarakat umum di seluruh negara sebagai sebahagian usaha dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian.
“Kita berharap melalui kempen ini, apabila kita masuk ke sekolah dan berdialog dengan murid serta pelajar, mereka lebih tahu bagaimana melindungi diri dan bantuan apa yang boleh diminta apabila berdepan isu dalam talian,” di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin tahu langkah yang sedang diambil kerajaan bagi memperkukuh sistem laporan dan aduan awam untuk membolehkan tindakan pantas diambil terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan di ruang siber.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Abdul Halim Suleiman berhubung tindakan segera kerajaan untuk menyekat pembelian permainan dalam talian oleh golongan kanak-kanak tanpa pengetahuan ibu bapa, Nie Ching berkata pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) akan turut meliputi aspek tersebut.
“Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaanya secara berkesan bagi memastikan golongan muda tidak terdedah kepada kandungan yang memudaratkan.
“Kita sekarang mengkaji bagaimana kita nak buat pengesahan umur dan identiti untuk memastikan kita boleh mengawal,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan semua platform media sosial melaksanakan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun media sosial.


















Comments