Kempen kibar Jalur Gemilang diawalkan – Fahmi
- nabalunews
- 2m
- 1 min read

6 November 2025
KUALA LUMPUR: Siri penerangan dan pelaksanaan kempen mengibarkan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) akan diawalkan dari jadual asal supaya ia tidak sekadar untuk sambutan bulan Kebangsaan semata-mata.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu sebagai langkah untuk mengelak insiden kesilapan memaparkan atau memasang Jalur Gemilang seperti yang berlaku sebelum ini berulang.
Katanya, usaha itu boleh dirancakkan menerusi peranan pegawai-pegawai Jabatan Penerangan di setiap daerah dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang rasa cinta kepada negara.
"Di peringkat komuniti melalui JAPEN, memang sebelum ini kita ada siri penerangan, penjelasan dan modul untuk peringkat komuniti.
"Maka saya lihat untuk masa hadapan, usaha tingkatkan kesedaran rasa cinta kepada negara, dan juga cara-cara mengibar Jalur Gemilang yang betul kita awalkan bukan sekadar bulan Kebangsaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung langkah konkrit diambil kementerian bagi mengelak insiden kesalahan memapar dan memasangkan Jalur Gemilang dari berulang.
Fahmi berkata, kecuaian dan kesilapan membabitkan pemasangan serta pemaparan Jalur Gemilang seperti yang berlaku sebelum ini perlu diperbaiki.
Menurut beliau, pihaknya melihat kesilapan pemasangan dan pemaparan Jalur Gemilang dalam bahan sebaran itu merentasi parti politik dan semua tempat.
"Kita dapati ada pihak yang mungkin terlalu mudah menghasilkan gambar dan imej menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga mereka tidak sempat nak kira berapa jalur yang ada, apakah susunan itu betul, bucu bintang cukup atau tidak.
"Jadi, ini satu kecuaian yang saya rasa perlu kita perbaiki. Kita semua ada peranan itu," katanya.


















Comments