Kenderaan pedagangan tanpa SLD tidak dibenar atas jalan

30 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem Speed Limitation Device (SLD) atau peranti had kelajuan tidak akan dibenarkan berada di jalan raya.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pelaksanaan sistem SLD merupakan langkah penting dalam mengawal kelajuan kenderaan berat serta mengurangkan risiko kemalangan maut, khususnya melibatkan bas dan lori.
Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan sudah lama diwajibkan di negara Eropah, malah Singapura baru-baru ini juga telah menwajibkan SLD ke atas kenderaan berat di negara itu.
“Dari segi keberkesanan dan pemantauan sedang kita laksanakan. Sekiranya kenderaan perdagangan tidak ada sistem ini maka mereka tidak boleh melepasi pemeriksaan kenderaan, sekali gus tidak boleh berada di jalan raya.
“Walaupun saya tahu mungkin ada pemain industri akan ada 'pushback', menyatakan kos tambahan dan sebagainya, namun ini penting untuk memastikan keselamatan jalan raya dan nyawa manusia lebih terjamin.
"Saya harap ahli Yang Berhormat bersama menyokong usaha kerajaan memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan lancar supaya apa-apa sahaja 'pushback', kita nyatakan keselamatan mesti diutamakan berbanding kos dan keuntungan perniagaan," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong), yang bertanya tentang kesan penguatkuasaan SLD, kos dan penyelenggaraannya, implikasi kegagalan sistem dan sama ada negara lain telah mewajibkan SLD.
SLD adalah sistem kawalan kelajuan automatik, berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui Unit Kawalan Elektronik (ECU), selari matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin, sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan.
Dalam pada itu, Anthony berkata penguatkuasaan pemasangan SLD bagi semua kenderaan perdagangan dilakukan secara tiga fasa, dengan peringkat permulaan membabitkan pengesahan kefungsian sistem bagi semua kenderaan perdagangan dibina selepas 1 Januari 2015.
Pelaksanaan ini terpakai kepada semua kenderaan perdagangan iaitu kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg) dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000 kg serta membawa lebih lapan penumpang.
"Fasa dua pula melibatkan pengaktifan SLD dalam ECU bagi semua kenderaan perdagangan dibina sebelum 1 Januari 2015. Penguatkuasaannya bermula 1 Januari depan.
"Manakala fasa tiga membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi kenderaan perdagangan tidak dilengkapi dengan sistem ini. Penguatkuasaannya akan bermula 1 Julai 2026," katanya.
Anthony berkata demikian ketika menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PH–Gerik) berhubung pelaksanaan sistem SLD di negara ini.















Comments