Kenyataan balas PM angkuh dan biadab terhadap Agong: PHKenyataan balas PM angkuh dan biadab terhadap Agong: PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kenyataan balas PM angkuh dan biadab terhadap Agong: PH


(Dari kiri) Guan Eng, Anwar dan Moamad Sabu

30 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri dan beranggapan ianya angkuh serta biadab terhadap terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Majlis itu berkata tindakan tersebut juga dilihat menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.


Kenyataan itu turut menyebut perkara utama membabitkan kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen merangkap Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu mengenai pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai.


"Walau bagaimanapun, kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.


"Oleh itu, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.


"Amat penting dinyatakan bahawa Pemerintah yang telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan."

Majlis itu juga berpendapat bahawa Peguam Negara Idrus Harun turut gagal menjalankan tugas rasminya untuk memberi nasihat perundangan kepada Seri Paduka Baginda secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.


Sepanjang sidang khas Parlimen ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun juga telah mempertahankan hak Kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan.


"Tiada tindakan lain yang mesti dilakukan oleh Mahiaddin, seluruh Jemaah Menteri, Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Peguam Negara selain dari meletakkan jawatan secara terhormat atas kesalahan besar mereka.


"Bukan sahaja (mereka) gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara.


"Kalau inilah yang diperlakukan Mahiaddin dan Kerajaan Perikatan Nasional terhadap Yang di-Pertuan Agong, apalagi terhadap Rakyat," kata Majlis itu.


Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page