Kenyataan Peguam Negara bercanggah titah Agong: PH
Wartawan Nabalu News

6 September 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kenyataan Peguam Negara, Idris Harun bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen bertentangan dengan titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Menurut mereka, Yang di-Pertuan Agong telah menitah pada 17 Ogos lalu bahawa usul undi percaya perlu dikemukakan secepat mungkin apabila Dewan Rakyat mula bersidang.
“Dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Titah YDPA ini juga turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti,“ katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Kenyataan Bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan pemimpin DAP Lim Guan Eng.
Tambah mereka, Peguam Negara juga hadir, menjadi saksi malah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap tersebut.
“Di manakah logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?
“Tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.
“Undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Dato' Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, 3 hari selepas Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, ini merupakan kali kedua Peguam Negara derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.
Mereka juga meminta Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
“Pakatan Harapan menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawasanya undi percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri ke-9 punyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 13 September ini,” kata mereka.
Terdahulu Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa, undi percaya tidak perlu lagi dilakukan apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada 13 September ini kerana Yang di-Pertuan Agong sudah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu mengikut perlembagaan persekutuan.
Comments