Kenyataan penuh Ewon dan Jin Zhe mengenai Perjanjian Petronas
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kenyataan penuh Ewon dan Jin Zhe mengenai Perjanjian Petronas




Kami terima cabaran Tan Sri Harris Salleh untuk usulkan pembatalan Perjanjian Petronas di Dewan Undangan Negeri - Ewon, Jin Zhe


Kenyataan hari ini (12 Julai 2022)


Kami mengambil maklum kenyataan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Salleh yang menyatakan bahawa Perjanjian Petronas ditandatangani bagi melaksanakan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan di Parlimen pada tahun 1974.


Beliau menyatakan bahawa Wakil-Wakil Rakyat Sabah pada ketika itu juga menyokong keputusan tersebut.


Tan Sri Harris juga menyatakan agar kami mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri bagi membatalkan Perjanjian Petronas tersebut.


Kami menerima cabaran tersebut dan kami akan mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan pada 18 hingga 21 Julai ini.


Kami berpendapat bahawa semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen yang berkaitan dengan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 haruslah terlebih dahulu diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum dikuatkuasakan. Jika ianya tidak diluluskan di DUN Sabah, maka akta tersebut seharusnya tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah.


Kami tetap berpendirian bahawa Perjanjian Petronas yang ditandatangani oleh Tan Sri Harris dan Tan Sri Pairin Kitingan merupakan satu kesilapan besar yang telah merugikan rakyat Sabah sehingga kini.


Wakil-Wakil Rakyat yang bersetuju ke atas keputusan tersebut juga turut sama bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut.

Sabah memerlukan kepimpinan yang tegas dan tidak mudah akur kepada kehendak Kerajaan Persekutuan apatah lagi jika ianya hanya memberi keuntungan kepada Putrajaya sahaja.


Kami komited untuk terus mengangkat pendekatan perubahan dalam menuntut semula hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia. Ini termasuklah menggunakan platform sidang DUN Sabah dan saluran perundangan sepertimana kami memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi bagi menuntut hak 40% hasil persekutuan di Sabah.


Seandainya usaha kami tidak berjaya melalui sidang DUN Sabah, maka kami mempertimbangkan untuk memfailkan Semakan Kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian Malaysia terutama ianya dibuat semasa Ordinan Darurat berkuatkuasa yang mana kini sudah dibatalkan.


Kenyataan penuh pada 8 Julai 2022


PDA satu kesilapan besar, Harris dan Pairin harus tampil beri penjelasan


Dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Pairin Kitingan telah tampil dengan kenyataan berhubung dengan masalah pendatang asing di Sabah. Kenyataan mereka telah menjadi tajuk utama berita-berita di Sabah.


Bagaimana pula dengan Akta Pembangunan Petroleum? Kedua-dua Harris dan Pairin telah menandatangani Perjanjian Petronas yang merupakan satu kesilapan besar kerana Sabah telah kehilangan autoriti ke atas sumber minyak dan gas buat selama-lamanya.


Kesilapan itulah yang membantutkan pembangunan di Sabah yang hari ini masih berhadapan dengan rangkaian jalan raya yang teruk, bekalan air dan elektrik yang bermasalah, kerencatan kemudahan kesihatan dan pendidikan serta ameniti sosial lain terutamanya di kawasan luar bandar.


Selaku Ketua Menteri dan Menteri yang menandatangani Perjanjian Petronas tersebut, kami menggesa dan mencabar Harris dan Pairin tampil memberi penjelasan mengapa mereka membuat keputusan tersebut.


Selama ini mereka tidak pernah membuat kenyataan atau memberi penjelasan. Maka selagi itulah mereka akan diingati sebagai dua pemimpin yang telah melakukan kesilapan besar yang tidak dapat dimaafkan oleh rakyat Sabah.


Selaku generasi baharu Wakil Rakyat Sabah, kami mahu menjadikan kesilapan itu sebagai satu ikhtibar. Semoga Kerajaan Sabah hari ini dan yang akan datang tidak mengulangi kesilapan sedemikian.


Sebaliknya, kita harus mempertahankan hak kita yang masih ada dan terus menuntut penunaian hak kita sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963. Sebab itulah kami berdua bersama beberapa lagi ADUN dan Ahli Parlimen Sabah telah memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi untuk menuntut pelaksanaan pemberian 40% hasil persekutuan di Sabah sepertimana dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.


YB Datuk Ewon Benedick

ADUN Kadamaian


YB Phoong Jin Zhe

ADUN Luyang

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page