Kenyataan UMANY mansuh matrikulasi, PDRM terima 5 laporan polis
- nabalunews
- Sep 16, 2025
- 1 min read

16 September 2025
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima lima laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze baru-baru ini yang mencetuskan kegentaran awam.
Kenyataan yang disiarkan sebuah portal berita tempatan itu menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenyataan berkenaan didapati berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, selain mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat dan menggugat ketenteraman awam.
“Satu laporan diterima pada 12 September lalu. Sehingga kini, sebanyak empat lagi laporan polis diterima berkaitan perkara sama daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan berunsur khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu katanya, kes turut di siasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ynag memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh,” ujarnya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial.
Tamat















Comments