Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bukan sekadar simbolik – Anwar
- nabalunews
- Aug 8
- 1 min read

8 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu amanah besar untuk meninggalkan kesan bermakna kepada seluruh komuniti ASEAN.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memikul amanah besar untuk mengemudi rantau ini dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.
"Amanah ini bukan sekadar simbolik, dunia sedang memerhati dan kita harus pastikan kepengerusian ini meninggalkan kesan yang bermakna dan manfaat yang tersemat utuh buat seluruh komuniti ASEAN," katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN, hari ini.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap iltizam dan visi jauh para pengasas ASEAN yang telah meletakkan asas kepada kestabilan dan kerjasama serantau.
Menurut Anwar, kejayaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja adalah bukti komitmen negara dalam memacu keamanan dan menjadi pendamai serantau.
“Usaha Malaysia hingga berjaya mengekalkan gencatan senjata merupakan satu pencapaian penting. Namun, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan mandat daripada rakan-rakan ASEAN.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dalam memikul peranan penting ini," ujarnya.
Anwar berkata, kejayaan dalam rundingan damai tersebut mengingatkan bahawa tanggungjawab ASEAN bukan hanya menjamin keamanan antara negara, tetapi juga memperkukuh kedamaian dan kestabilan dalam negara masing-masing.
“Inilah kompas moral dan prinsip yang mesti terus kita junjung dalam membimbing haluan kita, sebuah ASEAN yang bersatu, aman dan makmur untuk semua,” katanya.
Malaysia kini berada di fasa penutup kepengerusian menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, yang dijangka menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, serta Pengerusi BRICS dan G20.


















Comments