Kepimpinan baharu harus jadi alternatif kepada blok kerajaan: Ewon
29 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Blok pembangkang harus tampil dengan kepimpinan alternatif kepada blok kerajaan yang ada hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Menurut beliau, di Sabah, terdapat dua blok utama dalam kerajaan negeri yang mungkin bertanding sesama sendiri dalam pilihanraya akan datang iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“GRS mungkin akan berkempen menggunakan sentimen gabungan parti tempatan, manakala BN pula kemungkinan akan berkempen menggunakan idea kerajaan perpaduan. Kedua-dua blok mempunyai kekuatan tersendiri.
“Justeru blok pembangkang harus tampil dengan alternatif, iaitu dengan menonjolkan kepimpinan baharu yang lebih muda berasaskan kepada kesatuan parti-parti pembangkang seperti MUDA, DAP, UPKO dan lain-lain parti. Kita perlu kemukakan pelan strategik atau roadmap masa hadapan Sabah yang progresif tapi praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Rumah Terbuka Raya Kaamatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Sabah di sini, hari ini.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan sokongan beliau kepada kesediaan pemimpin-pemimpin muda pembangkang untuk berbincang mengenai kesatuan kerjasama bukan hanya dalam menghadapi pilihanraya, tetapi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan memperjuangkan isu-isu rakyat.
“Jika pemimpin-pemimpin yang lebih dewasa sukar sangat untuk bekerjasama antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai ego, maka pemimpin-pemimpin yang lebih muda harus tampil untuk menjayakan kesatuan kerjasama tersebut seperti yang telah dimulakan oleh MUDA, DAP dan UPKO.
“Kita turut menjemput para pemimpin muda parti-parti lain untuk turut serta dalam menjayakan kesatuan kepimpinan baharu ini yang boleh dijadikan sebagai alternatif,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika diminta wartawan Nabalu News mengulas lanjut mengenai ucapan beliau.
Turut hadir dalam sambutan tersebut ialah ADUN Luyang Phoong Jin Zhe.
Rumah terbuka MUDA Sabah tersebut dihoskan oleh Naib Presidennya Shahrizal Denci dan dihadiri oleh jawatankuasa negeri dan beberapa ahli jawatankuasa pimpinan pusat MUDA.
Sebelum ini, MUDA dan DAP turut berkunjung ke sambutan Rumah Terbukaa Kaamatan Raya yang dihoskan oleh Ewon di Kadamaian.
Comments