Keputusan PM tangguh Sidang Parlimen DipertikaikanKeputusan PM tangguh Sidang Parlimen Dipertikaikan
top of page
  • Farid Johan

Keputusan PM tangguh Sidang Parlimen Dipertikaikan


31 Julai 2021

Oleh Farid Johan


KOTA KINABALU: Ramai Anggota Parlimen, khususnya dari blok pembangkang mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menangguhkan sidang Parlimen yang dijadualkan pada Isnin ini.


Kebanyakan mereka tidak bersetuju dan mempersoalkan kewajaran menangguhkan persidangan itu.


Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan hari ini berkata, walau apapun yang berlaku, Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kepada Rakyat.


“Tan Sri Mahiaddin wajib mendengar suara Rakyat yang mahu titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini,” kata kenyataan itu.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).


“Kami juga memberi amaran keras kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin agar tidak memperalat agensi dan Kementerian-Kementerian, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini,” kata kenyataan itu.


Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Foon Chan Hin menyifatkan penangguhan persidangan itu diaebabkan penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen sebagai “alasan”.


“Di luar Parlimen, setiap hari seluruh negara merekodkan lebih 10,000 kes baru, tetapi perkhidmatan perlu masih berjalan seperti biasa.


“Kes baru (di Parlimen) dalam lingkungan single digit, terus tidak berani adakan persidangan.


“Janganlah nama baik DG KKM dicemari. Tak tahu sekarang nak lawan Covid kah, atau lawan demokrasi!,” katanya melalui Facebooknya hari ini.


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata: “Covid tiba-tiba serang dewan setelah YDP Agong titah amat dukacita sebab kerajaan PN tidak menghormati undang-undang, membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda dan menipu parlimen”.


“Covid tiba-tiba serang dewan apabila sampai giliran saya berucap,” katanya dalam perkongsian melalui Facebooknya hari ini.


Rata-rata mereka berpendapat pandemik Covid-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan sidang itu.


Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong juga menyifatkan penangguhan persidangan itu sebagai “taktik baru” kerajaan PN.


“Kerajaan sangat berusaha mencari taktik baru supaya Parlimen tidak bersidang,” katanya dalam Facebooknya.


Manakala, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan penangguhan sidang Parlimen Isnin ini sebagai “kerajaan penakut”.


“Sampai bila nak lari dari tanggungjawab? Takut nak

Berbahas, takut nak jawab soalan.


“Buat apa semua Ahli Parlimen dapat vaksin awal? Parlimen bukan alat politik PN,” katanya dalam Twitternya.


Selain ahli-ahli politik, orang ramai turut mempersoalkan penangguhan Parlimen ekoran terdapat penularan jangkitan Covid di kawasan itu.


Dalam laman sosial mereka turut meluahkan ketidakpuasan hati kerana kluster tempat kerja dan kilang-kilang yang telah menjangkiti ribuan pekerja tidak pula ditutup.


“Di tempat kerja kalau ada satu kerja yang positif Covid-19, kita kena tetap masuk kerja, bila ada pelularan di Parlimen boleh pula ditangguhkan,” kata seorang pengguna Twitter.


Seorang lagi pengguna Twitter berkata, persidangan ditangguhkan kerana Parlimen Malaysia merupakan lokaiti berisiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.


“Kilang terus beroperasi walaupun ada pekerja yang positif Covid, tetapi Dewan Rakyat ditutup untuk sekat suara Ahli-ahli Parlimen,” katanya.


Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin (2 Ogos) akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.


Demikian dinyatakan dalam surat bertarikh 31 Julai 2021 (hari ini) yang ditujukan kepada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat dan ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.


Menurut kandungan surat itu, pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


Turut dinyatakan dalam surat itu, penangguhan ini selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 di mana Kementerian Kesihatan berpendapat Parlimen Malaysia meruoakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

bottom of page