top of page
nabalunews

Kerajaan Akan Perkenal Undang-Undang Lebih Tegas Tangani Isu Buli Siber - PM

2 November 2024


BUKIT MERTAJAM: Kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang lebih tegas bagi menangani isu buli siber yang semakin membimbangkan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut beliau, rang undang-undang berkaitan buli siber itu dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang.


Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat dalam penggunaan platform digital, sekaligus membendung penyebaran kandungan berunsur negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mental dan fizikal individu yang terlibat.


“Kita akan perkenalkan undang-undang buli siber yang lebih tegas... dan saya ada minta badan-badan seperti MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) ambil tindakan maksimum yang mungkin, jangan tolak ansur,” katanya pada program Temu Anwar di Karnival Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas, Jalan Baru Prai di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Kounikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.


Anwar berkata meskipun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara namun isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi impak psikologi seperti penderaan mental sehingga berupaya mengancam keselamatan serta nyawa seseorang dan tindakan tegas perlu diambil bagi mengatasinya.


“Kebebasan bukan untuk kamu dera orang. Kebebasan bukan untuk kamu menghina orang, mengaibkan orang… meskipun Malaysia memperjuang kebebasan dan keadilan, negara ini tidak akan sesekali membiarkan sebarang bentuk penindasan, penghinaan serta penderaan berlaku,” katanya.

댓글


bottom of page