Kerajaan akan teliti cadangan letak SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen
2 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk menempatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, berbeza daripada sebelum ini yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tindakan yang sewajarnya akan diambil selepas penelitian mengenai cadangan tersebut selesai dilakukan.
"Kerajaan sangat terbuka dengan pandangan dan cadangan yang disampaikan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Yang Berhormat untuk meningkatkan keberkesanan SPRM. Isu ini akan diteliti oleh pihak yang berkaitan bagi mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk membawa SPRM ke bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beberapa pihak sebelum ini telah mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus.
Cadangan itu dibangkitkan susulan wujud pelbagai dakwaan termasuk berlaku pendakwaan terpilih ke atas pemimpin parti politik tertentu.
Oleh itu Kerajaan kini sedang mempertimbangkan cadangan ini untuk menentukan langkah yang terbaik untuk memperkuatkan SPRM dan memastikan keberkesanannya dalam memerangi rasuah di Malaysia.
Comentarios