top of page

Kerajaan belum rancang bina pangkalan udara bomba di Labuan

  • nabalunews
  • 3 minutes ago
  • 1 min read

23 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) belum merancang untuk mewujudkan pangkalan udara bomba baharu di Labuan.


Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata ia kerana pangkalan sedia ada di Miri, Sarawak masih mampu memenuhi keperluan operasi kebombaan dan penyelamatan di Sabah, Sarawak serta Labuan.


“Kedudukan strategik pangkalan udara di Miri yang terletak di titik tengah antara Sabah dan Sarawak memberi kelebihan dari segi kesiapsiagaan serta mobilisasi aset udara.


“Statistik operasi penerbangan bagi tempoh 2020 hingga 2025 merekodkan sebanyak 161 permohonan penggunaan pesawat diterima, dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi, diikuti Sabah dan Labuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang ingin tahu adakah kementerian bercadang menjadikan Labuan sebagai pangkalan bomba udara untuk memenuhi kes-kes kecemasan dan logistik khususnya bagi sektor minyak dan gas di wilayah berkenaan.


Ahli Parlimen Labuan itu meminta kerajaan mempertimbangkan keperluan tersebut memandangkan perjalanan dari pangkalan udara terdekat di Miri mengambil masa dua hingga empat jam untuk sampai ke Labuan.


Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, bagi memperkukuh kesiapsiagaan khususnya melibatkan industri gas dan petroleum, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bekerjasama dengan pemain industri menerusi penubuhan Labuan Emergency Mutual Aid (LEMA).


“Kerjasama ini bertujuan memastikan tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan bersepadu,” ujarnya.


Dalam pada itu, katanya JBPM ketika ini memiliki tiga pangkalan udara bomba yang sedang beroperasi iaitu Pangkalan Udara Wilayah Tengah di Subang, Selangor; Pangkalan Udara Wilayah Utara di Bertam, Pulau Pinang; serta Pangkalan Udara Wilayah Sarawak di Miri, Sarawak.


Menurut beliau, JBPM secara keseluruhannya mempunyai lapan aset udara yang digunakan bagi operasi pemadaman dan penyelamatan di seluruh negara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page