• Farah Salim

Kerajaan beri Najib rumah bernilai RM100 juta secara percuma?


12 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Sebuah rumah kediaman bernilai RM100 juta dengan keluasan 2.8 ekar bakal diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


MalaysiaNow mendedahkan bahawa ia merupakan ‘penghargaan’ dari Kerajaan kepada Najib di atas perkhidmatan awamnya setelah beliau memohon ‘keistimewaan’.


Difahamkan, Najib membuat permohonan tersebut dari Jabatan Perdana Menteri setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekali lagi pada tahun lalu sebelum disabitkan bersalah bagi kes rasuah skandal 1MDB.


Ketika didedahkan, difahamkan beberapa menteri dan pegawai kanan membantah perkara ini atas alasan bekas perdana menteri itu mempunyai sabitan kes rasuah.


‘Keistimewaan’ kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan ekslusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.


Difahamkan, Najib turut menerima elaun sebanyak RM10,000 sebulan setelah beliau tamat perkhidmatan sebagai Perdana Menteri.


Dengan perasaan marah, beberapa netizen di Twitter merasa kesal terhadap pendedahan ini yang dianggap sebagai satu pembaziran terhadap dana awam.


Menurut mereka, wang sebanyak RM100 juta itu lebih baik dibelanjakan ke atas bantuan yang boleh dihulurkan kepada rakyat, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.


Mereka juga beranggapan bahawa keisitimewaan sebegitu tidak wajar diberi kepada individu atau ahli politik yang mempunyai rekod jenayah.


“Ini adalah salah satu sebab mengapa kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang adalah ‘Kerajaan Gagal’. Keistimewaan sebegini tidak sepatutnya diberi kepada penjenayah, walaupun beliau merupakan seorang bekas perdana menteri,” kata pengguna Twitter, Yassir Hasnol.


Seorang lagi pengguna Twitter, Amira Aisya berkata: “Dari beri RM100 juta kepada penjenayah yang dah curi duit rakyat, ini adalah cara yang anda (Kerajaan) boleh belanjakan kepada rakyat: subsidi separuh harga mampu milik untuk lebih 600 buah keluarga, laptop berkualiti untuk lebih 66,000 pelajar, tingkatkan bajet D11, dan banyak lagi!”