• Marryan Razan

Kerajaan dan PH akan tandatangan Mou, di Parlimen esok



12 Sept 2021 Oleh Marryan Razan KUALA LUMPUR: Wakil-wakil pihak Kerajaan dan Pakatan Harapan pada hari ini memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan. Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan wakil pihak kerajaan dan Pakatan Harapan, semua pihak telah bersetuju bahawa memorandum persefahaman itu adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara "dwi-partisan". “Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen. “Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” menurut kenyataan itu, hari ini. Menurut kenyataan itu lagi, bersesuaian dengan ini dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak bersetuju menandatangani persefahaman ini pada hari esok (13 September 2021) jam 5 petang, di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua Parti Pakatan Harapan iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim (Presiden Parti Keadilan Rakyat), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik), Haji Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu). Kerajaan diwakili oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. Manakala Pakatan Harapan pula diwakili Setiausaha Agung Keadilan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan Keadilan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi Keadilan Fahmi Fadzil.