top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan hargai aktiviti kemasyarakatan NGO masyarakat Cina- Ewon

30 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan menghargai sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina yang aktif melaksanakan aktiviti amal dan kebajikan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sumbangan dan sokongan pelbagai pihak termasuk Persatuan Kebajikan Cina Sabah menganjurkan aktiviti amal amat dihargai dan dialu-alukan.


“Saya amat menghargai usaha dan keprihatinan Persatuan Kebajikan Cina Sabah membantu masyarakat kita yang memerlukan sama ada golongan orang kelainan upaya (OKU), pelajar kurang berkemampuan atau rakyat yang susah.


“Bagi pihak kerajaan, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Persatuan Kebajikan Cina Sabah atas semua sumbangan dan usaha membantu masyarkat yang memerlukan bantuan melalui majlis amal ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Amal Persatuan Kebajikan Cina Sabah, di Dewan Hakka, di sini, semalam.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Presiden Persatuan Kebajikan Cina Sabah Henry Yap dan Pengerusi Penganjur Richard Chong.


Ewon berkata, sebagai negara berbilang kaum dan agama, perpaduan amat penting bagi memastikan masyarakat hidup aman damai, harmoni dan selamat.


“Apabila negara kita aman damai dan masyarakat hidup harmoni, aktiviti perniagaan berjalan lancar.

“Selain program kebajikan, kita juga mahu melihat rakyat kita makmur dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan.


“Itu sebabnya selain aktiviti kebajikan yang sememangnya sudah sebati dengan masyarakat Cina di negara ini. Kita juga menghargai penglibatan dan sumbangan mereka dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan,” katanya.


Ewon turut mengalu-alukan masyarakat usahawan Cina di seluruh negara khususnya di Sabah terus  memajukan perniagaan atau membina perniagaan baharu termasuk menubuhkan koperasi.


“Di seluruh Malaysia lebih 15,000 koperasi berdaftar dan banyak koperasi ditubuhkan oleh masyarakat Cina, contohnya Koperasi Usahawan Tawau Berhad di Tawau yang saya kunjungi baru-baru ini.


“Koperasi itu merupakan koperasi terbaik di Tawau dan nombor 99 terbaik di seluruh negara. Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan Tabung Modal Pusingan kepada koperasi itu untuk terus mengembangkan perniagaan,” katanya.


Selain itu katanya banyak lagi program-program dan pembiayaan usahawan disediakan kementeriannya melalui agensi di bawan kementerian itu.


Ewon berkata, setakat ini beberapa program besar kementerian berjaya dilaksanakan di Kota Kinabalu antaranya Minggu Perusahaan Mikro Kecil dsn Sederhana (PMKS), Persidangan Koperasi Belia Asia Pasific dan Hari Koperasi Negara.


“Pada November ini kita akan mengadakan satu lagi acara besar-besaran iaitu Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPKK) di Penampang yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Itulah antara lain usaha-usaha yang telah saya bawa selepas diberi tanggungjawab menerajui kementerian ini,” katanya.


Ewon berkata, penganjuran acara besar-besaran di Sabah khususnya Kota Kinabalu dengan kehadiran ramai peserta daripada luar negara akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.


“Para pengusaha dan peniaga di negeri in secara tidak langsung akan mendapat tempias daripada aktiviti kerajaan yang kita bawa ke Kota Kinabalu,” katanya.


Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada Persatuan Kebajikan Cina Sabah sebagai sokongan terhadap program-program kebajikan yang dilaksanakan persatuan itu.

Comments


bottom of page