Kerajaan hormat tuntutan rakyat Sabah mahukan perubahan – Anwar
- nabalunews
- Nov 30
- 1 min read

30 November 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menghormati sepenuhnya keputusan pengundi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) ke-17 yang berakhir semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut membawa mesej yang tegas dan jelas bahawa rakyat Sabah mahukan perubahan selepas sekian lama berdepan ketidakadilan dan pengabaian, baik daripada parti dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai isu-isu yang diwarisi, termasuk tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
"Beberapa kemajuan nyata telah dicapai, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan, Kerajaan Madani akan terus konsisten meneruskan usaha pembaharuan demi mewujudkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok politik terbesar selepas memenangi 29 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua, awal pagi tadi.


















Comments