top of page

Kerajaan jamin pelajar cemerlang SPM dapat 10A ditawar masuk matrikulasi tanpa kira kaum – PM Anwar

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 30, 2024
  • 2 min read


30 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperluas akses pendidikan berkualiti, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memberi jaminan tempat di Matrikulasi untuk semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas, tanpa mengira kaum dan latar belakang.

 

Jelas Anwar, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira keluhan rakyat dan setelah mengkaji dengan teliti unsur-unsur serta cadangan penyelesaian.

 

Beliau menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan penuh pertimbangan, memastikan kelangsungan sistem kuota Bumiputera sedia ada, sambil membuka peluang yang lebih luas kepada semua pelajar berprestasi untuk mencapai kecemerlangan.

 

"Jumaat lalu, Jemaah Menteri telah bersidang... mendengar keluhan rakyat, melihat, mengkaji, meneliti unsur dan cadangan penyelesaian, ia tidak boleh gopoh tanpa meminggirkan satu kelompok," kata Perdana Menteri.

 

"Jadi tahun ini, Kerajaan MADANI telah membuat keputusan, semua anak-anak kita, mahu jadi pemimpin di negara ini mesti ada sikap yang jelas, anak-anak kita tanpa terkecuali, semua rakyat, Melayu itu anak kita, Cina anak kita, India anak kita, Dayak atau Kadazan, semua suku kaum Sabah, Sarawak anak kita.. kalau ada anggapan itu boleh jadi pemimpin negara ini. Anggap semua satu keluarga besar. “Yang mencatat 10A dan lebih, mendapat keputusan yang cemerlang..semua harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan," kata beliau semasa Majlis Penutup Nasional Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, di sini.

 

Kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif baharu ini, dengan perincian lanjut mengenai kaedah dan pelaksanaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melahirkan generasi muda yang berkualiti dan berdaya saing, tanpa mengira latar belakang, demi memacu kemajuan dan kemakmuran negara.

 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page