Wartawan Nabalu News
Kerajaan komited laksana reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya
12 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal komited dalam melaksanakan usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama dalam meneliti agenda reformasi tersebut hari ini antara membincangkan terma rujukan dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan usaha reformasi tersebut.
Beliau berkata pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan yang besar kepada Kerajaan.
"Hasil perbincangan akan dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang bagi pertimbangan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menambah bahawa mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil Blok Pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
Beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju supaya dua Pasukan Petugas Khas ditubuhkan dalam mempercepatkan usaha reformasi ini iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang akan menjalankan kajian berdasarkan keterangan (evidence-based research) ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global (global best practices) dan Pasukan Petugas Khas Teknikal yang akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan.
"Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan Laporan Interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya.
Beliau juga berkata sesi libat urus/perbincangan bersama pihak-pihak pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak-pihak lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa terdekat.
Tegas beliau, agenda reformasi ini penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik.
Comments