top of page

Kerajaan laksana 1,218 projek pembangunan di Sabah libatkan peruntukan RM6.5 bilion

nabalunews


11 Julai 2024


KUALA LUMPUR: Terdapat 1,218 program dan projek pembangunan di Sabah di bawah peruntukkan Pembangunan (DE) Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) tahun 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM6,502,666,400.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 364 program/projek telah siap dilaksanakan.


"Terdapat 438 projek sedang giat dilaksanakan, manakala 416 lagi berada di peringkat pra pelaksanaan.


"Daripada keseluruhan 364 program atau projek yang telah siap dilaksanakan pula, sebanyak 334 adalah projek bernilai sehingga RM50 juta," katanya.


Zaliha berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dalam sesi Soalan Lisan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.


Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pembangunan yang telah dilaksanakan dan bilangan baki yang belum dilaksanakan daripada RM6.5 bilion peruntukan pembangunan untuk Sabah dalam Bajet 2023.


Beliau juga meminta penjelasan terhadap bilangan projek yang bernilai sehingga RM50 juta yang telah dilaksanakan.


Menurut Zaliha, sebanyak RM4,931,055,664 atau 75.83 peratus daripada jumlah peruntukan RM6.5 bilion telah pun dibelanjakan.


"Baki peruntukan yang belum dibelanjakan adalah sebanyak RM1,571,610,736 atau 24.17 peratus," katanya.

Comments


bottom of page