Kerajaan laksana inisiatif penjanaan solar di bumbung bangunan mulai 1 Januari
- nabalunews
- 2h
- 2 min read

19 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP bermula 1 Januari 2026 sebagai usaha memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan program itu kesinambungan Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang tamat pada 30 Jun dengan beberapa penambahbaikan daripada cadangan asal bagi Solar ATAP dilakukan.
"Suruhanjaya Tenaga (ST) selaku badan kawal selia industri pembekalan elektrik telah menyediakan Garis Panduan Program Solar ATAP yang boleh diakses di laman sesawang ST bermula 31 Disember.
"Permohonan untuk program ini boleh dikemukakan bermula 1 Januari melalui laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia,” menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan antara penambahbaikan ialah tiada kuota khusus ditetapkan di bawah Solar ATAP.
Namun, katanya, kerajaan boleh meletakkan satu had tertentu pada bila-bila masa jika kemasukan solar yang tidak terkawal menjejaskan sistem grid nasional.
Prinsip asas NEM turut dikekalkan dengan membenarkan lebihan tenaga solar dijual kepada grid sebagai offset tenaga dengan penyesuaian tertentu bagi menjadikannya lebih menarik berbanding Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) sedia ada.
"Penetapan kadar offset tenaga berdasarkan harga pasaran elektrik iaitu pada kadar system marginal price bagi pengguna bukan domestik dan kadar caj tenaga bagi kumpulan domestik.
"Had pemasangan sistem solar ditetapkan pada kadar 100 peratus permintaan maksimum agar pengguna boleh mengoptimumkan pemasangan sistem solar untuk kegunaan sendiri," jelas kenyataan itu.
Selain itu, pengguna domestik 1-fasa (single phase) dibenarkan untuk memasang solar dengan kapasiti lima kilowatt (kW) dan kapasiti rumah dengan pepasangan 3-fasa dinaikan daripada 12.5kW kepada 15kW.
PETRA memaklumkan, pelaksanaan Program Solar ATAP dijangka memberi pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan bagi penjanaan TBB dan merancakkan pembangunan penjanaan tenaga bersih bagi mengurangkan pelepasan karbon negara.
“PETRA yakin pelaksanaan program baharu ini menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara untuk jangka masa panjang dan seterusnya menyokong aspirasi Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik menjelang 2050,” menurut kementerian itu.


















Comments