top of page

Kerajaan laksana Strategi Kebangsaan Anti Rasuah PKS, tingkat integriti usahawan

  • nabalunews
  • Oct 21, 2025
  • 1 min read

21 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Strategi Kebangsaan Anti Rasuah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memperkukuh budaya etika dan integriti perniagaan dalam kalangan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dicapai ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bil. 1/2025 di ibu negara, hari ini.


“Pendekatan baharu ini akan memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif dan memastikan keberkesanannya kepada usahawan,” katanya menerusi hantaran di X.


Menurutnya, mesyuarat bagi merangka dasar dan hala tuju baharu sektor keusahawanan itu turut menyambut baik Belanjawan 2026 yang memperuntukkan kemudahan pinjaman serta jaminan berjumlah RM50 bilion bagi menyokong pertumbuhan PMKS dan koperasi di seluruh negara.


Ahmad Zahid berkata, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membuka peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat.


Justeru katanya, kejayaan ekonomi Malaysia pada masa hadapan amat bergantung kepada keupayaan kerajaan memperkasa sektor keusahawan agar terus berdaya saing, inovatif dan mampan.


“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui dasar yang inklusif, progresif dan berpaksikan integriti.


“Matlamat kita jelas iaitu untuk menjadikan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi nasional dan serantau serta mewujudkan peluang lebih luas kepada rakyat selari dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page