Kerajaan Negeri perkasa industri halal Sabah
- nabalunews
- Sep 28
- 2 min read

28 September 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan industri halal sebagai salah satu sektor berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, industri halal kini berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar dan menjadi penyumbang utama dalam perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi berkaitan, sektor swasta dan komuniti usahawan agar berganding bahu memperkukuh ekosistem industri halal di Sabah.

“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan
menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar
negara,” katanya
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri
(Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro.
Hajiji berkata, bantuan ini disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan
operasi perniagaan, namun usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti
Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam
yang dikendalikan MUIS Halal Hub.
“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia
kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di
Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
"Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka
untuk bersaing di peringkat global. Justeru, industri halal di Sabah khususnya
membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi MUIS
Halal Hub", katanya.
Beliau berharap program MyHalal Day melahirkan lebih ramai usahawan halal yang
berdaya saing, serta mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama dalam
industri halal serantau.
Menurut Hajiji, penganjuran MyHalal Day yang berlangsung selama tiga hari sejak
Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada usahawan melalui pelbagai pengisian,
antaranya klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal, serta
perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal.
“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal dan
melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas bagi memperkukuh daya saing
produk,” jelasnya.


















Comments