top of page

Kerajaan Perpaduan komited jaga kestabilan negara

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 30, 2023
  • 1 min read

30 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada 19 parti politik beriltizam untuk memastikan negara terus stabil, bagi meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia.


Ini dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.


Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua parti juga bersetuju bahawa Malaysia mesti menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan, agar kehidupan rakyat lebih makmur dan sejahtera.


"Selain itu Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemikkan agama dan bangsa secara jumud yang memudaratkan," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.


Dalam mesyuarat tersebut, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menekankan aspek kestabilan sebagai kunci utama untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan, yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan rakyat di Borneo.


"Bahkan Sarawak merupakan contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama bebas daripada sebarang fahaman ekstremisme agama yang songsang," katanya.


Beliau berkata, Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab untuk merencanakan program yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page