top of page

Kerajaan pertimbang semula sekatan keluar negara peminjam PTPTN

  • nabalunews
  • Aug 20, 2025
  • 1 min read

20 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mengembalikan semula sekatan perjalanan keluar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang enggan membayar pinjaman walaupun sudah berkemampuan.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun berkata, buat masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.


“Sekatan keluar negara sedang dalam pertimbangan, tetapi buat masa ini belum ada keputusan.


“Mungkin kita akan kaji semula, tetapi buat masa ini belum ada pertimbangan untuk mengadakan sekatan kepada peminjam,” katanya ketika menjawab pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH–Kepong) mengenai sama ada kerajaan akan mengembalikan sekatan perjalanan keluar negara terhadap peminjam tegar yang enggan melunaskan pinjaman PTPTN walaupun mempunyai kemampuan.


Selain itu, Lip Eng turut bertanya mengenai alasan pengecualian pembayaran pinjaman PTPTN untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dihentikan.


Mustapha berkata, permohonan untuk pengecualian itu akan dibuka semula pada 1 September 2025 memandangkan laman sesawang PTPTN sebelum ini dalam penyelenggaraan.


“Kepada yang berkenaan, boleh membuat permohonan semula terutama mereka yang telah memperoleh keputusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama,” katanya.


Ujarnya, skim kelas pertama yang dimulakan oleh kerajaan pada awal 2001 itu sudah memberi manfaat kepada 133,159 peminjam dengan nilai lebih kurang RM2.9 bilion.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page