top of page

Kerajaan peruntuk RM611 bilion untuk RMK13

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read
ree

1 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM611 bilion untuk menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan RM430 bilion membabitkan dana kerajaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion, manakala sokongan pihak swasta melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) sebanyak RM61 bilion.


"Daripada peruntukan RM430 bilion ini, lebih daripada separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.


"Sektor sosial turut diberi keutamaan menerusi peruntukan RM133 bilion dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion," katanya pada pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, pada Khamis.


Anwar berkata, sektor keselamatan pula diperuntuk RM51 bilion manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion.


Menurutnya, agihan strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi.


“Dengan ikhtiar ini, menjelang 2030, negara bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh.


“Inilah impian Malaysia MADANI, RMK13 harus menjadi milik semua, setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat," katanya.


Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran keberhasilan yang boleh diukur melalui angka angka ekonomi untuk memandu serta memantau gerak kerja yang akan dilaksanakan.


Katanya, dalam tempoh RMK13, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.


Manakala, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.


“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.


“Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurang secara berperingkat di bawah peratus kepada KDNK dan paras hutang Kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK,” katanya.


Beliau berkata, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.


Selain itu, kadar purata inflasi juga dijangka kekal stabil dalam lingkungan 2 hingga 3 peratus setahun.


“Pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus, manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030,” katanya.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page