top of page

Kerajaan, PH meterai MoU meliputi enam bidang utama

  • Writer: Ilona Andrew
    Ilona Andrew
  • Sep 13, 2021
  • 1 min read

Gambar Ihsan Free Malaysia Today

13 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik yang meliputi enam bidang utama.


Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum ini membentuk satu kerjasama 'dwi-partisan' yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.


Katanya, ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Billah bahawa semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan negara.


"Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.


"Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi: Pemerkasaan Pelan COVID- 19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu," katanya.


Menurut Ismail, memorandum ini berupaya mengenepikan segala perbezaan politik dan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.


Memorandum persefahaman itu ditandatangani secara bersama oleh Ismail, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.




Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page