Kerajaan Sabah dan JANS perlu telus tangani masalah air – MadiusKerajaan Sabah dan JANS perlu telus tangani masalah air – Madius
top of page
  • Nur Syafiqah Abdullah

Kerajaan Sabah dan JANS perlu telus tangani masalah air – Madius


22 Nov 2021

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


TUARAN: Kerajaan Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu telus mengenai masalah air yang dihadapi rakyat Sabah, khususnya penduduk di Sepanggar, dan bukan hanya menuding jari antara sesama lain.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata penduduk juga berhak untuk tahu tentang permasalahan air itu dari kedua-dua pihak ini.


“Tanpa elektrik, penduduk masih boleh hidup, tetapi tanpa air, ianya satu masalah apa lagi jika mereka terkesan dengan perintah kawalan berkurung.


“Kita faham apabila ada yang beremosi. Bagi saya kunci penyelesaian ini ialah ketelusan. Tiada yang dapat diselesaikan dengan tuding-menuding jari. Kita perlu jalan penyelesaian yang komprehensif,” katanya selepas melawat penduduk terjejas masalah air di University Utama Condominium (UUC) di sini, semalam.


Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mendedahkan bahawa permintaan pembekalan air melebihi pengeluaran adalah antara sebab sumber air di Sabah sangat parah.


Menurut beliau lagi, permasalahan air di negeri ini juga telah beliau panjangkan semasa siding Parlimen.


“Saya berhempas pulas untuk berucap di Parlimen dan menumpukan perhatian dengan perkara ini khususnya bagaimana kerajaan dapat menggunakan peruntukan yang dimasukkan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu RM2.2 billion untuk Sabah.


“Daripada itu, untuk tahun depan, peruntukan lebih kurang RM200 juta, tapi semua itu adalah dalam bentuk pinjaman.


“Saya perjuangkan perkara ini di Parlimen supaya akhirnya kerajan persekutuan boleh membantu kerajaan negeri dari segi memastikan supaya sumber air itu berterusan dan serta isu “non-revenue water” dapat diatasi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian UPKO Sepanggar Datuk Wong Thien Fook menyeru agar semua pihak yang terlibat untuk lebih terbuka untuk mencari penyelesaian.


“Ia kunci asas untuk memudahkan segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

bottom of page