Kerajaan sentiasa peka keperluan sukan
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

19 Jun 2025
SANDAKAN: Kerajaan sentiasa cakna terhadap pembangunan belia dan ekosistem pembangunan sukan di negara ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, kerajaan persekutuan juga telah menyediakan peruntukkan yang besar khusus untuk pembangunan sukan, termasuk peningkatan kemudahan sukan, sokongan kepada program-program latihan dan pembangunan bakat - bakat muda.
"Peruntukan ini adalah satu pelaburan jangka panjang yang akan memastikan negara kita terus melahirkan atlet-atlet yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Ini juga komitmen kerajaan dalam memastikan sukan terus berkembang maju di negeri ini." Katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sandakan Kali Ke-65 di Stadium Kompleks Sukan Sandakan.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Datu Roslin Datu Siabok dan Penyelas Parlimen Sandakan, Tang Tzu Ching serta yang lain.
Sementara itu, hampir 600 atlet melibatkan 28 kontijen mengambil bahagian dalam acara olahraga yang dipertandingkan.
Dalam pada itu, Vivian berkata, peranan guru dan jurulatih yang hadir sama merupakan tulang belakang kejayaan para atlet khususnya dalam melahirkan bakat dan menggilap potensi atlet amatlah disanjung tinggi.
“Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pendidik, tetapi guru dan jurulatih bertindak sebagai pembimbing yang berperanan membentuk atlet muda kita sehingga mampu bersaing di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan tidak mustahil di peringkat antarabangsa.
"Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru dan jurulatih ini adalah asas kepada kejayaan murid kita." Jelasnya.
"Melalui bimbingan anda, bakat-bakat ini dapat berkembang dengan baik dan potensi mereka dapat direalisasikan sepenuhnya," katanya.
Vivian turut merakam penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan MSSD Sandakan pada kali ini.
Comentarios