Kerajaan tak boleh beri RM1 juta kepada semua keluarga
- nabalunews
- Sep 23, 2024
- 1 min read

23 September 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh memberikan setiap keluarga di negara ini sebanyak RM1 juta dengan cara mencetak wang kerana tindakan sedemikian akan mengundang masalah besar kepada ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan dianggarkan memerlukan kira-kira RM8 trilion untuk melaksanakan cadangan sedemikian, dengan andaian terdapat kira-kira lapan juta isi rumah di negara ini.
"Kalau kita cetak wang, inflasi naik mendadak dan nilai ringgit jatuh mendadak. Nanti jadi seperti wang pokok pisang masa zaman Jepun.
"Kalau kita pinjam, jumlah hutang negara akan mencecah 500 peratus daripada saiz ekonomi. Mustahil ada peminjam yang akan meminjamkan begitu banyak wang kepada Malaysia," katanya dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, Rafizi menambah, jika ada sekalipun pihak yang sanggup membeli bon kerajaan untuk mengumpul dana RM8 trilion itu, mereka akan mengenakan kupon faedah yang sangat tinggi, mungkin mencecah 20 peratus.
Beliau menegaskan, setiap tahun, kerajaan perlu membayar lebih RM1 trilion sebagai faedah sahaja, sedangkan pendapatan kerajaan tidak mencecah RM400 bilion.
"Yang paling penting, kalau setiap keluarga ada RM1 juta, siapa yang nak kerja? Semua dah jadi jutawan, kita ada masalah kerana semua perniagaan dan pejabat mungkin akan tutup!
"Sebab itu, ada sesetengah idea, walaupun bunyi bagus tapi tidak semestinya boleh dilaksanakan," katanya.
Catatan Rafizi itu sekali gus menjelaskan sebab kerajaan tidak boleh melaksanakan cadangan sedemikian yang didakwa dapat menghapuskan kemiskinan dan setiap keluarga akan berbelanja bagi merancakkan ekonomi.
Langkah sedemikian juga didakwa akan membolehkan perniagaan meraih keuntungan selain melonjakkan pendapatan kerajaan.
Comments