top of page

Kerajaan teliti cadangan perkenal struktur akaun baharu KWSP

  • nabalunews
  • Oct 8
  • 2 min read

ree

8 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan struktur akaun baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diwujudkan apabila ahli mencapai umur persaraan minimum.


Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata secara asasnya, mekanisme akaun itu terbahagi kepada dua komponen, iaitu simpanan fleksibel iaitu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut kehendak ahli, dan simpanan pendapatan diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.


Menurut Lim, ia hanya akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaannya, namun sekiranya ahli sedia ada ingin memilih untuk menyertai struktur tersebut juga boleh berbuat demikian.


"Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Lim berkata demikian menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai cadangan untuk meneliti semula kaedah pengeluaran simpanan ahli KWSP seperti yang pernah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).


Selain itu, beliau turut menyatakan pada masa ini tiada perubahan polisi dibuat ke atas skim pengeluaran KWSP semasa.


"Pilihan pengeluaran simpanan KWSP pada umur 55 dan 60 tahun kekal sama. Pada masa kini, ahli mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus, sebahagian atau melalui bayaran berkala," katanya.


Menjawab soalan asal Wee Tse mengenai jumlah caruman dan pencarum KWSP terkini, Lim berkata, setakat 31 Ogos lalu jumlah keseluruhan ahli KWSP adalah seramai 16.5 juta orang, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion.


Daripada jumlah itu, katanya, seramai sembilan juta atau 55 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP adalah ahli aktif, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.


"Setakat 31 Ogos lalu juga, 23.9 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP berumur 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas mengikut umur. Peratusan yang rendah ini dipengaruhi faktor hampir separuh daripada jumlah ahli adalah tidak aktif mencarum.


"Jika dilihat pencapaian bagi ahli aktif formal pula, 38.8 peratus daripada ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun sudah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur,” ujarnya.


Pencapaian itu, jelasnya, adalah peningkatan baik berbanding 30.4 peratus pada akhir 2022 iaitu kesan daripada pengeluaran berkaitan COVID-19.


Dalam pada itu, Lim berkata, situasi ketidakcukupuan simpanan persaraan dipengaruhi beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah dan umur layak untuk melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.


Selain itu, katanya, caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page