Kerajaan teliti cadangan tubuh Suruhanjaya Kanak-Kanak
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

29 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional bagi memperkukuh perlindungan hak serta kebajikan kelompok itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan berdasarkan situasi semasa negara yang semakin terkesan dengan pelbagai isu berkaitan keselamatan, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.
Katanya, antara yang perlu dipertimbangkan adalah mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan agar tidak bertindih dengan institusi sedia.
“Buat masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam, yang berperanan menasihati kerajaan, memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak.
“Justeru, kerajaan berpendapat tambah baik kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata, kajian lanjut mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak perlu diteruskan berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara.
Tambahan pula, katanya, jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak itu dibuat berdasarkan seksyen 6A Akta Suhakam 1999 (Akta 597), yang secara tidak langsung bermaksud tanggungjawab berkaitan bukan sahaja untuk memberi tumpuan khusus kepada isu-kanak-kanak.
Ia juga mengambil kira kerangka tugas dan mandat secara menyeluruh termasuk pemajuan hak asasi manusia secara holistik.
“Populasi kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.13 juta atau sekitar 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara pada 2023.
“Perkara ini membuktikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi Kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada masa hadapan,” katanya.


















Comments