top of page

Kerajaan teliti dakwaan Meta raih pendapatan dari iklan penipuan

  • nabalunews
  • Nov 7
  • 1 min read

ree

7 November 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti laporan dikeluarkan agensi berita antarabangsa, Reuters yang mendakwa pengedali media sosial, Meta memperoleh pendapatan daripada iklan yang mempromosikan penipuan dan barangan terlarang.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jika laporan itu benar, ia akan menjadi asas kepada kementerian untuk memanggil Meta bagi memberi penjelasan penuh.


Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan laporan media antarabangsa itu yang begitu terperinci, memberikan angka yang dipercayai berdasarkan daripada dokumen dalaman Meta sendiri.


“Sekiranya benar, bermaksud angka yang dinyatakan oleh Reuters dalam laporan itu, lebih RM250 juta daripada jumlah itu adalah daripada iklan-iklan scam (penipuan), judi dalam talian dan lain-lain penipuan.


“Laporan ini amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran keuntungan Meta datang daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang termasuk di Malaysia,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.


Menurut Fahmi, beliau sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka, termasuk di Parlimen, mengenai anggaran jumlah keuntungan diraih syarikat berkenaan di Malaysia pada 2023 yang dipercayai sekitar RM2.5 bilion.


Beliau berkata, setakat ini Meta hanya menafikan angka yang dilaporkan tanpa memberikan penjelasan terperinci.


“Setakat ini kita tidak melihat apa-apa kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta malah cuma penafian bahawa angka-angka itu bukan dalam konteksnya yang sebenar, tapi ini tidak memadai,” katanya.


Jelasnya, apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dikuatkuasakan kelak, platform seperti Meta akan dipertanggungjawabkan secara undang-undang bagi memastikan kemudaratan dalam talian seperti penipuan dan perjudian tidak lagi berleluasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page