Kerajaan teliti penyasaran semula subsidi gula, beras, minyak masak
- nabalunews
- Nov 3
- 1 min read

3 November 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah berkenaan bertujuan mengelakkan ketirisan serta menjamin barangan bersubsidi hanya dinikmati oleh golongan benar-benar memerlukan seperti yang dilaksanakan menerusi subsidi diesel dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan diesel dan BUDI95 sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memperluas pelaksanaan penyasaran subsidi kepada barangan asas lain bagi memastikan bantuan lebih tepat kepada golongan sasar serta mengurangkan ketirisan.
Lim berkata, bagi memastikan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak sampai kepada golongan sasar, kerajaan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara beterusan dan bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, khususnya melalui Op Tiris dan Kita Gempur.
Dalam pada itu, katanya kerajaan juga akan memastikan ketersediaan bekalan barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak di setiap siri program Jualan Rahmah Madani.
"Bagi tahun 2025, sasaran program ini telah diperluaskan daripada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan parlimen kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi 600 kawasan di seluruh negara.
"Oleh itu barangan bersubsidi akan lebih mudah diperoleh termasuk di kawasan yang mungkin tidak mudah didapati di kedai runcit biasa," jelasnya.


















Comments