top of page

Kerajaan teliti semula cadangan tubuh Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional

  • nabalunews
  • 28 minutes ago
  • 1 min read

7 April 2026


PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan menggerakkan semula usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN), sebagai langkah memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.


Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu digerakkan semula susulan perkembangan semasa yang memperlihatkan peningkatan polemik berkaitan isu perpaduan dalam kalangan masyarakat.


Menurut beliau, cadangan penubuhan SKRN pernah dipersetujui secara dasarnya pada 2019, namun namun pelaksanaannya tidak diteruskan pada 2020 berikutan isu pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Polis Diraja Malaysia.


“Cadangan penubuhan SKRN yang baharu ini akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian berbanding tindakan berbentuk hukuman semata-mata.


“Pendekatan ini sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian secara harmoni dan konstruktif selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Aaron berkata, kementerian akan meneliti agar suruhanjaya berkenaan berupaya menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan memberi keterangan serta mengemukakan syor tindakan kepada kerajaan dan agensi berkaitan.


Tambahnya, suruhanjaya itu juga dijangka berperanan mengendalikan proses mediasi secara rasmi serta menerbitkan laporan awam tertakluk kepada had tertentu demi kepentingan keselamatan negara.


“Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak sejak awal April.


“Sesi ini akan diteruskan secara inklusif dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik, komuniti setempat serta pemegang taruh berkaitan bagi memastikan cadangan yang dirangka bersifat menyeluruh,” ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page