Kerajaan teroka laluan alternatif kurangkan kebergantungan Selat Hormuz
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

25 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh usaha menjamin bekalan tenaga negara termasuk mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan berisiko seperti Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan sebahagian langkah intervensi awal memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara, susulan perkembangan Asia Barat yang menyaksikan laluan Selat Hormuz dihadkan.
Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global, serta implikasi keselamatan susulan konflik di rantau berkenaan.
“Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan Madani.
“Beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan situasi tersebut akan terus dipantau rapi dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat.
Dalam mendepani cabaran semasa, beliau berkata ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan adalah amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan.











