top of page

Kerajaan tidak berhasrat tangguh laksana kerangka kawal selia, pelesenan media sosial - Fahmi

  • nabalunews
  • Aug 27, 2024
  • 1 min read

27 Ogos 2024


SEPANG: Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial termasuk pesanan internet yang akan dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.


Beliau berkata, ia tetap akan diteruskan demi memastikan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna tercapai, lapor Sinar Harian.


"Kita tidak akan tangguh," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kerangka itu susulan surat terbuka yang dihantar oleh Gabungan Internet Asia (AIC) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing Bersama Menteri Komunikasi di Sepang hari ini.


Media sebelum ini melaporkan AIC dalam surat terbuka kepada Anwar menggesa agar kerajaan menangguhkan rancangan untuk mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.


AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab mendakwa langkah pelesenan itu tidak boleh dilaksanakan bagi industri berkenaan serta boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.


Kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenalkan pada 1 Ogos lepas dan berkuat kuasa mulai tahun depan, tidak melibatkan pengguna platform media sosial berkenaan.


Pelesenan itu hanya terpakai kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page