top of page
  • nabalunews

Kerjasama MOCCIS dan KOPEKS pasarkan rangkaian hotel butik



5 Ogos 2024


PENAMPANG: Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) memeterai kerjasama dengan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) bagi menubuhkan dan memasarkan rangkaian hotel butik koperasi di Sabah dan juga Kuala Lumpur.


Memorandum persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama itu ditanda tangani pada sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri Sabah 2024 yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang, Sabtu lalu.


MOCCIS diwakili Pengerusinya Datuk Datuk Ahmad Sobri Wan Teh manakala

KOPEKS diwakili Pengerusinya, Dr Saat Ag Damit dan Ketua Pegawai Eksekutif, Buvill Angkui.


Selain KOPEKS, MOCCIS turut menandatangani MoU bersama 3 lagi koperasi di Sabah iaitu Koperasi Pusaka Penampang Berhad (KOPUSAKA), Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (KOPUSAMAJU) dan Koperasi Emas Tawau Berhad (KOEMAS).


Kerjasama yang dimeterai ini melibatkan aktiviti di sektor pelancongan, kesihatan dan penjagaan diri yang diyakini akan memberi manfaat ekonomi kepada koperasi-koperasi terlibat.


Hari Koperasi Negara peringkat negeri Sabah adalah satu program pengisian kepada Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) yang disambut pada Julai, setiap tahun sebagai manifestasi kepada usaha dan sumbangan gerakan koperasi dalam memastikan ia kekal relevan sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.


Hari Koperasi Negara peringkat negeri Sabah juga adalah platform bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi kepada orang ramai selain mewujudkan jaringan perniagaan, bertukar-tukar pendapat serta mendapatkan maklumat terkini melalui sesi perkongsian yang diadakan.


Sebanyak 60 reruai pameran dan jualan yang melibatkan koperasi, usahawan, agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi kerajaan negeri, disediakan.


Hadir sama pada perasmian itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar, Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong dan Pengarah SKM Sabah, Efendee OP Andu.

Comments


bottom of page