top of page

Kerjasama negara Islam kunci kebebasan dan kestabilan global – PM Anwar

  • nabalunews
  • Dec 11, 2024
  • 1 min read

 



11 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kerjasama antara negara Islam dan rakan strategik lain adalah elemen penting dalam memastikan kebebasan dan kestabilan di peringkat global yang semakin kompleks. 

 

Berucap pada Mesyuarat The Strategic Vision Group: Russia-Islamic World di ibu negara hari ini, beliau menegaskan bahawa penyertaan beberapa negara Islam dalam BRICS mencerminkan potensi besar untuk mengukuhkan hubungan baharu antara negara anggota. 

 

"Kami yakin melalui kerjasama yang berkesan antara negara Islam bersama rakan akrab lain, kita harus menjalin persefahaman baharu. Itulah sebabnya Malaysia memilih menjadi sebahagian daripada BRICS. 

 

"Kami amat mementingkan kerjasama seperti ini yang menunjukkan bahawa kami boleh menegaskan hak kami secara bebas dalam persekitaran pelbagai," ujar Perdana Menteri. 

 

Namun, Anwar turut menekankan cabaran besar yang masih dihadapi negara Islam, termasuk kekejaman yang berterusan terhadap Palestin. 

 

Beliau juga menyeru agar negara Islam bersatu dalam menghayati nilai ihsan, keadilan, dan kemanusiaan untuk mengatasi cabaran seperti perkauman dan Islamofobia. 

 

"Kami fikir bahawa dengan pembangunan, kemajuan dan pengetahuan akan ada lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi. Namun, ini tidak berlaku. 

 

"Dunia kini menyaksikan peningkatan kebangkitan fasisme, perkauman, sikap tidak bertoleransi dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap umat Islam, bukan sahaja di Palestin dan Gaza, tetapi juga di banyak bahagian dunia lain," katanya. 

 

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat dan menegaskan kepentingan solidariti serta dialog untuk menangani isu-isu global. 

 

 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page