- Wartawan Nabalu News
Kes COVID-19 negara turun 15.7 peratus

17 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kes COVID-19 di negara ini menunjukkan penurunan sebanyak 15.7 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME 23/2023) berbanding minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, jumlah kes COVID-19 pada ME 23/2023 iaitu bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun adalah sebanyak 3,814 kes berbanding 4,523 kes pada ME 22/2023 iaitu bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun.
“Kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan awam menurun kepada 3.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 23/2023 daripada 4.4 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 22/2023,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak tiga peratus pada ME 23/2023 berbanding ME 22/2023, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula menurun sebanyak satu peratus pada tempoh sama.
Dr Zaliha juga melaporkan peningkatan kes varian Omicron baharu yang terdiri daripada 75 kes varian membimbangkan (VOC) dan 12 kes varian yang mendapat perhatian (VOI).
“Sehingga kini, jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan 'sublineages' adalah sebanyak 55 kes yang kesemuanya adalah kes tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pecahan kes merangkumi 16 kes di Melaka, 12 kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tujuh), Sarawak (enam), Johor (empat), Wilayah Persekutuan Putrajaya (tiga), masing-masing dua kes di Perak, Negeri Sembilan, dan Sabah serta Perlis (satu).
Dr Zaliha berkata, hasil aktiviti pemantauan gejala demam selesema (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 114 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 13.44 peratus, manakala sebanyak 9.26 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19.
Beliau berkata, berdasarkan data sehingga 10 Jun lepas, hanya 50 peratus atau 16,337,334 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus atau 824,677 sahaja telah menerima dos penggalak kedua.