Kes jenayah seksual kanak-kanak, wanita semakin meningkat tahun lalu
17 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Rekod jenayah seksual terus meningkat dengan ketara apabila sebanyak 12,890 kes jenayah termasuk kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dan wanita telah dilaporkan pada tahun lalu, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2020, apabila sebanyak 11,092 kes dilaporkan.
Jelas beliau, Jenayah seksual itu terdiri daripada kes rogol, cabul, sumbang mahram, cabul kehormatan, gangguan seksual, amang seksual, berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, buang bayi, dan keganasan rumah tangga.
Menurut Abdul Jalil, jumlah kes rogol pada tiga tahun lalu mencatatkan sebanyak 1,378 kes dan meningkat kepada 1,398 kes pada tahun 2022.
“Sementara itu, kes sumbang mahram, cabul kehormatan, gangguan seksual, dera kanak-kanak, dan keganasan rumah tangga juga turut mengalami peningkatan dalam tempoh tersebut.
Abdul Jalil turut mengulas bahawa faktor yang menyebabkan peningkatan kes-kes tersebut termasuklah kepincangan keluarga, media sosial, gajet tanpa kawalan, tekanan hidup, dan taraf ekonomi.
Beliau menegaskan bahawa kes keganasan rumah tangga juga menyebabkan anak-anak terbiar dan tidak dipedulikan oleh ibu bapa sebelum mereka turut menjadi mangsa.
“Kemudahan teknologi tanpa kawalan ibu bapa juga menjadi penyumbang kepada kejadian kes jenayah seksual ini. Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya mengawal tingkah laku anak-anak daripada melayari laman web tertentu,” ujar Abdul Jalil.
Perkara ini menjadi isu yang serius dan menuntut kerjasama semua pihak untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan wanita di negara ini.
Comments