Kes kematian Zara Qairina: AGC arah inkues dijalankan
- nabalunews
- Aug 13, 2025
- 1 min read

13 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan ke atas kematian Zara Qairina Mahathir, 13.
AGC dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti laporan siasatan yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar itu, semalam.
"Jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah.

"Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina," menurut kenyataan itu.
Menurut AGC, proses inkues tersebut akan dikendalikan di mahkamah korener secara bebas secara telus mengikut peruntukan undang-undang.
Jumaat lalu, AGC mengeluarkan arahaan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
Bukit Aman kemudiannya memutuskan untuk mengambil alih siasatan dan menghantar sembilan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah ke Sabah bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan disahkan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth 1.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.















Comments