Kes pelajar maut jatuh bangunan dalam siasatan polis – Fadhlina
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

18 Julai 2025
KOTA KINABALU: Kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kini dalam siasatan pihak polis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian melibatkan pelajar perempuan itu.
Justeru itu katanya, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh menggangu siasatan.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, beliau bersama pengurusan tertinggi kementerian menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga itu terpelihara.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah turut menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial.
Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian Zara Qairina dan mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai insiden melibatkan seorang pelajar SMA Tun Datu Mustafa Limauan yang ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di bawah blok asrama sekolah berkenaan pada Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Comments