Kes remaja hamil bawah 18 tahun meningkat
- nabalunews
- Aug 13, 2025
- 2 min read

13 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kes remaja hamil di bawah usia 18 tahun meningkat 0.5 peratus kepada 2,752 tahun lalu berbanding 2,737 kes pada 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, statistik terbaharu Kementerian Kesihatan menunjukkan, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi pada kedua-dua tahun, diikuti Sabah dan Pahang.
Sementara itu katanya, data awalan bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 merekodkan sebanyak 655 kes remaja hamil bawah usia 18 tahun.
"Antara punca utama kehamilan remaja di Malaysia ialah kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh menyebabkan ramai remaja tidak memahami dengan jelas cara melindungi diri daripada kehamilan tidak dirancang.
“Dapatan ini juga disokong oleh hasil Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Remaja Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang diterbitkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2019,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai status semasa peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak-kanak (bawah umur 18 tahun) di setiap negeri dari 2023 hingga suku pertama 2025 dan jumlah kes, kadar peratusan pertumbuhan dan punca utama mengikut negeri.
Noraini berkata, kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Psikologi Malaysia pada 2020 turut menyenaraikan beberapa faktor lain berhubung situasi itu, seperti tekanan rakan sebaya dan pengaruh media, khususnya pendedahan kepada kandungan seksual secara terbuka.
Jelasnya, ia boleh membentuk norma serta persepsi yang mendorong remaja untuk mencuba atau bereksperimen.
“Dari sudut sosioekonomi pula, kemiskinan, keciciran sekolah dan ketiadaan peluang pekerjaan juga dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan kerentanan remaja terhadap risiko ini.
“Selain itu, latar belakang keluarga dan gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan tingkah laku seksual berisiko,” katanya.
Noraini berkata, bagi menangani isu kehamilan remaja, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa pelbagai agensi untuk berganding bahu secara kolaboratif dalam memperkukuh dan memperluas inisiatif yang bersifat holistik, demi mencapai impak positif kepada kesejahteraan remaja di Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Doris Sophia mengenai pelan tindakan nasional bagi menangani kes remaja hamil, Noraini berkata, antara inisiatif KPWKM termasuklah pembangunan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) serta pelan tindakan menangani perkahwinan bawah umur.
"Antara lain modul ini menekankan aspek pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif, kemahiran membuat keputusan yang sihat, pembangunan sahsiah serta keselamatan diri daripada gangguan dan penderaan seksual," katanya.















Comments