top of page

Kes tikam pelajar: Mangsa ditikam berulang kali di leher, dada

  • nabalunews
  • Oct 15, 2025
  • 1 min read

15 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang maut dalam kejadian di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai ditikam berulang kali pada bahagian dada dan leher.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah sebenar kecederaan hanya akan disahkan selepas laporan penuh bedah siasat disiapkan.


“Hasil bedah siasat mendapati banyak kesan luka ditemui pada tubuh mangsa.


“Punca kematian dikenal pasti sebagai kecederaan akibat tikaman di dada dan leher,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.


Menurut Shazeli, bedah siasat terhadap mangsa telah selesai malam tadi dan pihaknya kini menunggu laporan rasmi daripada pakar patologi bagi mengenal pasti punca kematian secara terperinci.


Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, telah mengekori mangsa ke tandas sebelum insiden berlaku antara jam 9 hingga 9.30 pagi.


“Selepas menikam mangsa, suspek dipercayai panik dan melarikan diri dari tandas sebelum berlegar di kawasan sekolah. Suspek berjaya ditahan oleh guru dan pelajar lain sejurus selepas itu,” katanya.


Mengulas lanjut, Shazeli berkata, siasatan mendapati senjata yang digunakan termasuk pisau dan kerambit dipercayai dibeli suspek secara dalam talian.


Jelasnya, siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.


Pada Selasa, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di lokasi kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 pagi.


Susulan kejadian itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa suspek berjaya ditahan pada hari sama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page