Kes Zara Qairina: Guru mengaku tidak bersalah sebar hantaran palsu
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

21 Ogos 2025
SEPANG: Seorang guru Bahasa Inggeris didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang didakwa dimasukkan dalam mesin basuh.
Memetik laporan Bernama, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memuat naik kenyataan melalui akaun TikTok miliknya “SHA Abrienda” pada 1.20 petang, 6 Ogos lalu.
Kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Zaiful Bahrain Kamde yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang berpendapatan RM5,000 sebulan sebagai guru, selain menanggung tiga anak dan kedua ibu bapanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Kematian pelajar itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian pelajar itu termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini turut mendedahkan bahawa guru terbabit mengakui hantaran TikTok yang mendakwa Zara Qairina mati dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya sekadar 'content'.
Comments