Kes Zara Qairina: SKMM rakam keterangan individu menyamar pakar patologi
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

19 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merakam keterangan individu menyamar pakar patologi mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata pihaknya berjaya mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ yang dikesan berdekatan Kota Damansara lewat malam, semalam.
Katanya, penahanan itu dilakukan berikutan maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut menyertai sesi siaran langsung akaun berkenaan di TikTok.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
SKMM menegaskan penyebaran maklumat palsu terutama melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas adalah satu kesalahan serius kerana boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
“Kes ini disiasat SKMM bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyiasat kes itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan, PDRM dan SKMM sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya ‘pakar bedah’ kononnya terlibat dalam proses bedah siasat ke atas jenazah pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, baru-baru ini.
Individu itu menerusi siaran langsung di TikTok pada Rabu lalu memberi gambaran seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.