top of page

Kes Zara Qairina: SUHAKAM mohon identiti 5 remaja didakwa tidak didedahkan

  • nabalunews
  • Aug 19, 2025
  • 2 min read

19 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa orang ramai, khususnya pihak media agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang akan didakwa berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.


Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM dalam kenyataan hari ini menegaskan, kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, bantuan guaman dan layanan yang adil.


“Identiti mereka tidak boleh didedahkan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh dipaparkan kepada umum.


“Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah,” menurut kenyataan itu.


Suruhanjaya itu turut mengingatkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611, justeru hanya pihak terlibat secara langsung dibenarkan hadir.


Selain itu, SUHAKAM menegaskan keutamaan kini adalah mengelakkan stigma berterusan terhadap kanak-kanak terbabit.


“Kami mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah atau secara dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu lagi.


Dalam pada itu katanya, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok turut disaran mengemas kini dasar dalaman secara proaktif untuk mengesan serta memadam kandungan yang melanggar Akta Kanak-Kanak.


“Sebarang penerbitan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, sama ada disengajakan atau tidak berpotensi menjejaskan perlindungan mereka serta menyumbang kepada mudarat jangka panjang,” katanya.


SUHAKAM menegaskan keadilan dalam kes ini mesti dilaksanakan berlandaskan prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang.


Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Zara Qairina, 13.


Dalam kenyataannya, AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page