Kesepaduan dan integrasi nasional kunci kestabilan, kesejahteraan negara : Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kesepaduan dan integrasi nasional kunci kestabilan, kesejahteraan negara : Ewon

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

28 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kesepaduan sosial dan integrasi nasional adalah kunci utama yang menyumbang kepada kestabilan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.


Selain itu katanya, perpaduan dalam kalangan rakyat juga adalah aset dan tonggak utama menjayakan pembentukan masyarakat dan negara MADANI.


“Bagi merealisasikan aspirasi ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta lain perlu bersatu padu dan bekerjasama dalam membantu menggerakkan aktiviti masyarakat.


“Justeru, saya memuji komitmen Bank Rakyat yang secara konsisten melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memupuk semangat kekitaan dan kesejahteraan bersama yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kerja, malah komuniti yang memerlukan dan tidak tertumpu kepada perniagaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan 2024 Bank Rakyat, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, baru-baru ini.


Ewon berkata, tema ‘Tulus Ikhlas’ yang dibawa oleh Bank Rakyat dengan peruntukan melebihi RM2.3 juta bagi program sempena bulan Ramadan dan Syawal menunjukkan keprihatinan dan kemampuan Bank Rakyat memberi nilai tambah dan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan.


Katanya, ini dapat dilihat menerusi perkhidmatan dan kemudahan perbankan, program latihan serta sumber bantuan kewangan yang disalurkan oleh Bank Rakyat kepada usahawan dan koperasi yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Terima kasih kepada Bank Rakyat atas sokongan dan dedikasi terhadap sektor keusahawanan dan koperasi negara dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI.


“Sokongan dan kerjasama berterusan dalam ekosistem keusahawanan dan koperasi amat berharga bukan hanya untuk kemakmuran seseorang individu tetapi untuk kemajuan masyarakat dan negara,”katanya.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman.

bottom of page